Nataschafuhr.com

Hendak tahu tak betapa hebatnya Allah mencipta hati yang punya perasaan

Hendak tahu tak betapa hebatnya Allah mencipta hati yang punya perasaan. Semalam hatiku cukup terharu dengan ingatan dan doa keluarga dan kenalan sempena ulangtahun kelahiranku.
Walaupun facebook adalah robot yang rajin mengingatkan kita tentang ulangtahun seseorang, ia tetap perlukan jari-jari seseorang untuk mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran. Menaip itu adalah satu usaha dan kesungguhan. Sebab itu aku terharu.
Kebiasaan aku jarang sekali melayan robot ini untuk ucapkan selamat ulangtahun kelahiran buat yang lain. Alasan aku adalah sibuk. Aku rasa ramai juga orang lain begitu. Bukan bermakna kita ini tidak bermakna dalam hidupnya, tapi ada perkara penting terpaksa didahulukan. Mana tahu kalau-kalau doa dia dalam diam lebih berharga. Bayangkanlah dalam kesibukan masih mampu keluarga dan sahabatku taipkan juga ucapan itu. Sebab itu aku terharu.
Semalam mesej ibuku sendiri hanya dibalas selepas 16 jam diucapkan. Walaupun ibu faham aku kini jarang sekali semak whatsapp, aku terap rasa bersalah. Begitu juga ahli keluarga dan sahabat lain, aku hanya mampu balas pada tengah malam. Sebab itu aku terharu.
Di facebook, baru pagi ini dapat aku semak kesemuanya. Aku tak dapat jawab satu-satu walaupun berhajat begitu. Sebab itu aku terharu.
Kalaulah aku seperti datukku yang mencatat nama siapa yang berikan ucapan, sudah tentu nama-nama ini akan aku simpan di dalam album. Namun, aku belum berdaya untuk buat begitu.
CUMA SATU PERKARA PALING PENTING YANG AKU SEDARI
ialah hampir 200 orang yang ucapkan salam ulangtahun ini adalah di kalangan semua ahli keluarga, sahabat dan kenalan yang benar-benar aku kenal. Mereka inilah insan yang pernah wujud dalam alam nyata dengan aku. Mereka bukanlah insan maya. Andai aku mati, aku percaya hati mereka jugalah yang segera sedih lantas mendoakan kesejahteraan aku di alam kubur. Saat itu doa mereka lebih penting daripada catatan di facebook. Sebab itu aku terharu.
Aku percaya juga ada ahli keluarga, sahabat dan kenalan sentiasa mendoakan kita dalam diam. Mereka ini cukup bermakna buat kita. Sayang sekali jika aku tak tahu siapa mereka. Andai aku mati, doa ini turut mengiringi jenazahku. Sebab itu aku terharu.
Aku ingin ucapkan terima kasih tak terhingga buat semua yang mengucapkan dan mendoakan aku walau dalam diam. Tidaklah doa itu sekadar tertuju buatku, moga ia berbalik semula kepada pendoa itu.
Hari yang berbaki dalam kadar jam, minit dan saat kian memendekkan umur kita sebenarnya. Walaupun angkanya bertambah saban tahun. Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah harus didustakan?
Moga-moga dengan umur yang kian pendek, amal kita bertambah-tambah, iman kita terus bercambah, dosa lalu segera bertaubah, segala yang buruk lantas berubah, lisan berucap baik-baik saja bah!
Terima kasih kerana membaca posting panjang ini di pagi hari. Inilah mesej yang datang dari hati yang Allah kurniakan perasaan tadi itu.

  2021-08-26     Admin

(0) Comments

Your Comment

Your Name